Cabul: Ustaz Budak didakwa lagi - Utusan Malaysia

Cabul: Ustaz Budak didakwa lagi

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Penceramah bebas dan mudir sekolah pondok, Ustaz Budak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, minggu lalu.

Ustaz Budak atau nama sebenarnya, Syamsul Zaman Sukri, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Prosiding pertuduhan kes itu hari ini berlangsung secara dalam talian, ekoran tertuduh disahkan positif Covid-19 sewaktu menjalani tempoh reman.

Mengikut pertuduhan, Syamsul Zaman didakwa dengan maksud seksual telah meraba seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di bilik tidur dalam sebuah rumah di Tanah Merah kira-kira pukul 9.45 pagi 3 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh ekoran ia melibatkan kes cabul terhadap remaja namun, Ahmad Adha dalam rayuannya memohon jaminan minimum kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan tarikh 19 September depan untuk sebutan semula kes serta laporan perubatan mangsa.

Tertuduh ditempatkan di Penjara Machang sepanjang perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, akhbar ini pernah melaporkan Ustaz Budak telah didakwa atas 12 pertuduhan mencabul pelajar pondok, bekas pelajar dan seorang ahli perniagaan dengan kesemua mereka adalah lelaki. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya