SEREMBAN: Seorang bapa tidak menyangka bunyi dentuman kuat didengari dari tingkat lima di Flat Taman Bukit Inai, Nilai di sini malam semalam adalah melibatkan kejadian anak perempuannya terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika Rusazli Azmi, 40-an, sedang mencari anak perempuannya berusia 13 tahun setelah mangsa dikatakan tiada di rumah.
Menceritakan kejadian tersebut, bapa saudara mangsa, Rusazuan Azmi, 33, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu selepas dihubungi bapa mangsa.
“Pada waktu itu saya baru saja sampai di rumah selepas pulang dari tempat kerja dan abang saya telefon beritahu anak dia jatuh.
“Saya ke lokasi dan waktu itu arwah masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban,” katanya yang tinggal di perumahan sama.
Menurut Rusazuan, difahamkan ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa hanya tinggal berdua dengan kakaknya yang berusia 17 tahun.
Risazuan berkata, bagaimanapun pada malam semalam ibu mangsa pulang ke rumah lebih awal dan mendapati dia tiada di rumah.
“Abang saya yang sampai ke rumah kemudian mencari mangsa di kawasan sekitar perumahan kami, tapi tiba-tiba terdengar bunyi dentuman seperti ada sesuatu jatuh.
“Dia kemudian berlari ke arah bunyi tersebut tapi sangat mengejutkan kerana yang jatuh itu adalah anaknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE