"Bukan mengendeng atau bodek Dafi" - Azwan Kombos - Utusan Malaysia

“Bukan mengendeng atau bodek Dafi” – Azwan Kombos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Azwan Kombos, 36, tidak menyangka perkongsian gambarnya dengan Dafi menimbulkan salah faham ramai sehingga ada yang menuduh dirinya cuba mengendeng atau membodek anak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Menurut Azwan, isu ini tidak sepatutnya timbul kerana tujuan gambar bersama Dafi itu dimuat naik dalam Instagram cuma sebagai satu tanda penghargaan buat Dafi dan bapanya.

“Mana ada mengendeng. Saya sebenarnya gembira. Semua orang sedang memperkatakan tentang berita pelantikan bapa Dafi semalam, jadi saya cuma muat naik sebagai menghargai dan meraikan perkara itu.

“Sebenarnya, kalangan kawan-kawan pelakon, kami saja bergurau dengan Dafi begitu. Kononnya sekarang artis nombor satu Malaysia bukan lagi Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Ernie Zakri misalnya, tetapi Dafi.

“Ini gurauan sesama teman-teman industri saja. Harap jangan ada yang salah faham,”katanya kepada Utusan Malaysia semasa dihubungi semalam.

Terdahulu, Azwan dilihat memuat naik sekeping gambar bersama Dafi di akaun Instagram sambil menulis ‘campak belakang sikit dengan penyanyi No 1 Malaysia dan kegemaran saya ini’ di ruangan kapsyen.

Perkongsian tersebut bagaimanapun telah mendapat pelbagai reaksi daripada peminat dan pengikut dengan ada antaranya menganggap pelakon ini mahu mengendeng atau cuba membodek anak Perdana Menteri.

Selain itu, jelas Azwan, dia tidak melihat ini sebagai suatu isu memandangkan dalam masa yang sama, sebagai rakyat, dia menyokong pelantikan Ismail Sabri di posisi tersebut.

“Dafi selama ini pun memang dikenali sebagai anak menteri, semua orang tahu perkara itu. Tetapi satu yang saya tahu, dia tidak pernah menggunakan peluang itu atau guna kabel untuk mengangkat kerjaya seninya.

“Bagi saya, Datuk Seri Ismail Sabri layak diangkat sebagai Perdana Menteri sebab dia paling banyak bekerja sejak negara berdepan dengan pandemik. Hari-hari ada sidang media dan sentiasa ambil berat tentang rakyat.

“Ini pendapat peribadi saya saja tahu. Jangan politikkan saya pula,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan terbaru, Azwan memaklumkan bahawa dia dan isterinya, pelakon Ezzaty Abdullah, 32, baru sahaja aktif semula menjalankan perniagaan mee udang secara atas talian.

“Setelah tiga bulan kami terpaksa hentikan sekejap operasi perniagaan, baru semalam kami berdua mula ambil tempahan dan penghantaran kepada pelanggan. Sekarang baru berani nak keluar beli barang dapur berdua.

“Kalau tidak, kami jenis tak keluar. Memang betul-betul jaga prosedur operasi standard (SOP). Iyalah, takut juga dengan kes yang semakin tinggi. Kita pun tak tahu mungkin boleh terjangkit atau menjadi pembawa sebab macam-macam varian pula sekarang,”katanya.

Dalam pada itu, Azwan yang telah lengkap menerima suntikan vaksin baru-baru ini lega apabila isterinya, Ezzaty juga berpeluang menjalankan tanggungjawab itu menerusi slot yang ditetapkan pada dua minggu lagi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya