TOKYO : Brazil berjaya mempertahankan pingat emas bola sepak lelaki Sukan Olimpik 2020 di Tokyo selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Sepanyol dalam aksi final di Stadium Nissan Yokohama, sebentar tadi.
Turun sebagai juara bertahan selepas memenanginya di Rio 2016, Brazil dan Sepanyol mempamerkan permulaan yang berhati-hati pada 10 minit pertama sebelum kedua-dua pasukan mula berbalas serangan.
Kesilapan penjaga gol Sepanyol Unai Simon yang melakukan kekasaran ke atas penyerang Brazil Matheus Cunha pada minit ke-36 mengakibatkan pengadil perlawanan Chris Beath menghadiahkan sepakan penalti selepas merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, peluang keemasan itu gagal disudahkan penyerang Everton Richarlison apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol sekali gus memberi kelegaan buat kem Sepanyol.
Gol yang dinantikan Brazil akhir tiba pada waktu kecederaan babak pertama menerusi rembatan kencang Cunha dalam kotak penalti untuk meletakkan juara bertahan itu mendahului 1-0 sebelum memasuki bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, Sepanyol terus melakukan asakan bertali arus ke kubu Brazil bagi mencari gol penyamaan.
Usaha mereka akhirnya berjaya pada minit ke-61 hasil jaringan Mikel Oyarzabal yang menerima hantaran lintang Carlos Soler.
Kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga berakhir 90 minit waktu permainan sebenar dan pemenang terpaksa ditentukan pada masa tambahan.
Percaturan jurulatih Brazil Andre Jardine memasukan Malcom nyata membuahkan hasil, apabila pemain itu muncul wira buat pasukan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-108.
Tersentak dengan jaringan itu, Sepanyol berusaha keras dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu Brazil yang memilih untuk bertahan dalam perlawanan berbaki 10 minit lagi namun skuad La Roja buntu untuk menewaskan Santos buat kali kedua. – AGENSI