SEPANG – Pemenang emas pertama negara Sukan Paralimpik Tokyo, Bonnie Bunyau Gustin menyatakan hasrat untuk meluangkan masa bersama keluarga terlebih dahulu sebelum memikirkan apa yang hendak dilakukan dengan hadiah wang kemenangan RM1 juta yang bakal menjadi miliknya.
“Setahun lebih tidak balik kampung, saya akan luangkan masa bersama keluarga dahulu dan memikirkan perkara yang akan dilakukan seterusnya.
“Berbincang dengan ayah dan keluarga dahulu,” katanya ketika ditemui media selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, hari ini.
Bonnie bakal menerima RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dan pencen bernilai RM5,000 sebulan.
Pada masa sama, Bonnie yang meraih emas acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram (kg) akan menerima ganjaran bernilai RM100,000 daripada penaja FWD Takaful Berhad.
Bonnie selamat mendarat kira-kira pukul 5.20 petang bersama pemenang pingat perak kategori 107 kilogram (kg) Jong Yee Khie menaiki penerbangan MH9117 dari Narita Jepun.
Turut sama dalam penerbangan ialah jurulatihnya, Jamil Adam dan pembantu jurulatih, Azwan Ali Baderam.
Ketibaan dua wira negara ini disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengarah, Jabatan Belia Sukan Negara (JBSN), Datuk Dr. Wasitah Mohd Yusof.
Atlet berusia 22 tahun dari Sarawak itu bukan sahaja merangkul emas malah lebih manis turut melebur rekod Paralimpik baharu milik Rasool Mohsin dari Iraq dilakukan di Rio 2016 iaitu 227 kg dengan angkatan 228 kg menerusi percubaan ketiganya dalam saingan di Tokyo International Forum.
Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.