Bomba tunai impian kanak-kanak leukemia jadi anggota bomba

Bomba tunai impian kanak-kanak leukemia

NORLIYANA Ismail dan suaminya, Aizul Izan Adenan melihat anak mereka, Muhammad Yusuf menaiki jentera kecil bomba ditemani Penolong Penguasa Bomba, Faizal Ahmad di Taman Eka Matahari, Bandar Enstek, Seremban, semalam. – FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) menunaikan hasrat dan impian seorang kanak-kanak yang menghidap kanser leukemia sejak hampir setahun lalu untuk menjadi seorang anggota bomba.

Muhammad Yusuf Aizul Izan, 5, disahkan menghidap kanser leukemia jenis Pre Blood Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) ketika berusia empat tahun dan menurut ibunya, Norliyana Ismail, 31, anak sulungnya itu amat meminati pasukan bomba sehinggakan mempunyai kese­mua permainan berkaitan de­ngan unit beruniform tersebut.

“Dia sering meminta kami belikannya permainan berkaitan bomba, sejak itu kami perhatikan minatnya. Kemudian ketika Muhammad Yusuf mendapatkan rawatan, terdapat satu program Make A Wish yang di­kendalikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kami dimaklumkan boleh memenuhi impiannya itu.

“Menerusi program itu, NGO terbabit dan pasukan bomba te­lah memberikan sebuah jentera kecil bomba dan pakaian badan beruniform kepada Muhammad Yusuf. Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan impian anak saya ini,” katanya ketika di­temui Utusan Malaysia di Taman Eka Matahari, Bandar Ens­tek, dekat sini semalam.

Sementara itu, jelas Norliya­na, anak sulung daripada dua adik beradik itu mula sakit sejak September 2019 apabila menga­lami pendarahan hidung.

“Sejak itu, dia mengalami ma­­­salah hidung berdarah, pada waktu itu doktor memaklumkan hanya terdapat kuman. Ba­gaimanapun, pada Februari tahun lalu, Muhammad Yusuf mula kelihatan lemah dan demam dan sering memaklumkan cepat berasa letih malah selalu terjatuh.

“Selepas itu, kami membawanya ke hospital dan hasil pemeriksaan terhadap darah­nya, doktor pakar mengesahkan Muhammad Yusuf menghidap kanser leukemia,” katanya.

Norliyana yang bekerja seba­gai operator kilang sebelum ini mengambil keputusan untuk berhenti daripada kerja dan memberi fokus untuk menjaga anaknya itu yang memerlukan rawatan dan perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sejak Muhammad Yusuf dimaklumkan sakit, saya memang fokus menjaganya dan mula ber­niaga kerepek di rumah. Pa­da mulanya, saya agak risau se­hingga merasa dunia gelap me­­mandangkan adik kepada Mu­hammad Yusuf ketika itu ba­ru sahaja berusia enam bulan.

“Bagaimanapun, di HKL sa­ya berjumpa dengan ramai kanak-kanak menghidap pel­bagai jenis kanser dan di situ juga mempunyai kumpulan ibu bapa dan penjaga yang sering berkongsi nasihat dan pengalaman mereka menjaga anak-anak yang menghidap kanser juga,” katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPMNS, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, pihaknya memasang jen­tera kecil bomba dan menghantar ke rumah Muhammad Yusuf selepas mengetahui minatnya terhadap pasukan bomba.

“Pihak bomba juga turut memberikan sepasang baju celoreng pasukan bomba Kelab Keselamatan Kebakaran (Kelab 3K) dan pakaian operasi kepada adik Muhammad Yusuf bagi memberi semangat kepada dia dalam mengharungi penyakit yang dialaminya.

“Kami berharap impian impian adik Muhammad Yusuf yang bercita-cita ingin menjadi seorang anggota bomba tercapai satu hari nanti. Semoga dia akan cepat sembuh dan diberikan kesihatan seperti sedia kala,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya