MENOLEH ke belakang 17 bulan yang lalu, banyak iktibar boleh dikutip.
Antara yang `menyentak’ orang Melayu adalah `jawab menjawab’ kerajaan terhadap Istana selepas dizahirkan rasa amat dukacita 29 Julai lalu.
Seharusnya bila sudah dapat surat titah diraja, secepat mungkinlah bersua muka. Ini kerana Raja tidak ‘bertukar-tukar surat atau warkah’ (yang dibalas dengan kenyataan-kenyataan). Surat dititah raja, teruskanlah menghadap.
Sekiranya raja menulis warkah, cara terbaik ialah warkah itu diteliti, sebelum dibawa ke penghadapan (menghadap). Di situ nanti persiapkanlah alasannya, ceritera sebab musabab dan apa matlamatnya. Bila sudah selesai berjumpa menghadap, buatlah rumusannya. Selepasnya, barulah diutus warkah yang tidak sepertinya balik. Itu cara orang Melayu terima dalam rentetan budayanya.
Bab jawab menjawab, jawab itu satu hal, tetapi tidak ada pula `menerima’ penzahiran terhadap “rasa amat dukacita” diraja berkenaan. Jadi, bukan kata semuanya hendak betul, itu sebabnya jangan dijawab dulu, pergi dulu ke hadapan sembah menghadap. Bila sudah balik (keluar Istana), disusun kata yang terasas pada perjumpaan tadi. Itu yang terbaik.
Tetapi kita (pihak yang menyusun kata, merangka kenyataan kerajaan) buat jawapan semacam itu. Orang Melayu kalau macam itu dahulu kala zaman feudal, sudah `terparang’ lama gamaknya.
Hal tidak faham `bahasa Istana’ ini jika dimasukkan dalam lunas orang Melayu bermaksud, “kita sudah lari daripada sosio budaya dan perbuatan dalam lingkungan masyarakat”.
Sebenarnya, keindahan bahasa Melayu itu berkait rapat dengan bahasa Istana. Bahasa Istana itulah yang diajar semasa pentadbiran Kerajaan Melayu Melaka Lama, Johor Lama dan Langkasuka kalau dilihat rentetan sejarahnya.
Istilah dan frasa-frasa indah bahasa Istana menerusi bahasanya adalah pada lapis stanza Arab hal ehwal rakyat. Ini semua bahasa yang indah dengan budaya di dalamnya berlapik.
CAKAP BERLAPIK
Tetapi sekarang ini di tahun 2021, budaya cakap berlapik tidak ada. Seolah-olah tidak faham lenggok dan tatabahasa masyarakat – sudah lari dari bahasa tinggi dan bahasa Istana.
Dipertuturkan “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun” bukanlah atas sesuatu kesalahan tetapi bermaksud “merendah diri dan beri laluan supaya dipertimbangkan”.
Budaya ini berkait rapat dengan bahasa. Tak boleh mencemik kerana di situlah kita orang Melayu bertanya “apa khabar”. Apabila bertemu, dua orang akan saling bercerita tentang cerita-cerita lama. Istilah-istilah atau ayat yang dipertuturkan itulah yang menguatkan perpaduan.
Hari ini, di bawah anjuran politik dan sebagainya, hal-hal dan isu bahasa menunjukkan kita sudah lupa bahawa kita mempunyai asas dan rangka budayanya. Elok dilihat semula Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang memberi takrifan kepada Melayu, Islam dan adat istiadat.
Sekarang, kelihatannya kita berada dalam kealpaan menyeluruh termasuk dalam sudut bahasa tadi. Malah ramai orang Melayu kini apabila berbahasa dengan Sultan, menyebut dirinya “saya” sahaja.
Seharusnya, membahasakan diri patik. Perkataan hikmat takzim yang sering diguna antaranya “sembah sila, junjung kasih”. Ini semua bahasa-bahasa cantik, tetapi barangkali orang Melayu sudah ‘kering lidah sehingga tidak mampu hendak tuturkannya’.
Dan pihak yang boleh dipersalahkan dalam hal-hal pengabaian bahasa ini adalah pihak berkuasa kementerian terbabit yang tidak lagi mengajar sosio budaya kepada anak murid. Guru pun sudah `tak reti’ nak berbahasa. Ini besar risikonya.
AGONG PENAUNG TAMPUK
Maka dalam hal ini terserahlah kepada Agong sebagai penaung tampuk agama dan orang Melayu. Tiada salahnya Agong menitahkan supaya dikembalikan kecemerlangan bahasa supaya mencerminkan bahawa kita mengikut rukun seperti yang disebut oleh penasihat Inggeris Frank Swettenham.
Bahkan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya, Sir Gerald Templer ada mengakui hal ini dalam Melayu Soldiers. Katanya, “orang Melayu dalam askar Melayu diraja paling hormat dan berdisiplin”. Ini semua berkait dengan soal bahasa yang diisi dengan budaya bermasyarakat.
Dan mahu tidak mahu bila disebut bahasa Melayu Nusantara, mereka beraja. Memang tidak boleh dielakkan sejak dahulu kala sampai sekarang, orang Melayu taat kepada rajanya. Semua itu berturutan sampai sekarang.
Malah sumpah rakyat dengan raja antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba di Palembang itu harus kita pegang sebagai tradisi bangsa yang kita miliki. Tetapi sekarang orang sudah lupa, harus diajar balik. Dan sehingga boleh dibuat, barulah kita boleh berjaya.
Institusi Raja adalah raja kepada seluruh rakyat. Kata-kata adat berbunyi:
Bendang diteroka,
Ruyung dibelah,
Raja bertakhta,
Rakyat menyembah.
Pendita Za’aba pernah menukilkan kata-kata hikmat ini:
Tiada raja,
Tiada takhta, tiada bangsa, hapuslah ia.
Pada masa ini, rakyat masih menghadap raja. Menghadap itu ertinya berdatang sembah. Sembah ialah segala apa yang digerak-geri dan dilafazkan di antara raja dengan warga atau rakyatnya mengikut peraturan yang adab. Rakyat berkata, raja bertitah. Bila bertitah, ia menjadi pegangan.
Braddel, satu-satunya penasihat undang-undang Inggeris menulis dalam tahun 1935, dengan menyatakan bahawa titah Raja Melayu itu adalah seperti undang-undang dan dipatuhi oleh rakyatnya. Dia dan Swettenham sependapat bahawa “a Malay is not quite a Malay if he does not adhere to the ways of the sultanate.”
Penggunaan dan pemakaian bahasa Istana yang betul dan tepat membantu orang Melayu dihormati bangsa lain. Sudah tentu kita tidak mahu terjadi perkara sebegini, yakni bila ketua berkata begitu, semua yang lain mesti ikut.
Macam itik pulang petang, tak banyak hirau lagi kerana…macam itik, tembolok sudah penuh, bahasa yang keluar hanya “kuek, kuek”.