KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 Disember ini bagi perbicaraan kes saman fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Mohamad Johan Lee @ John Lee Kien How itu ditetapkan selama empat hari iaitu pada 16, 17, 20 dan 21 Disember.
Tarikh itu yang diperolehi melalui semakan sistem mahkamah, kemudian disahkan oleh peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah.
Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 10 September ini. Tarikh perbicaraan terdahulu yang telah ditetapkan pada 11-14 Oktober ini, dilapangkan.
Mohd. Haaziq memberitahu pihak media, seramai empat saksi akan memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.
Kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Sultanah Nur Zahirah ditetapkan untuk perbicaraan penuh berikutan keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengecualikan baginda daripada memberi keterangan dalam kes saman tersebut.
Pada 24 Ogos lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang bersidang bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Lee Heng Cheong sebulat suara membenarkan rayuan ketiga-tiga pihak.
Mahkamah berpuas hati bahawa saman tersebut perlu didengar dan diputuskan melalui perbicaraan penuh, bukan menerusi penentuan persoalan undang-undang.
Saman fitnah tersebut difailkan terhadap Rewcastle Brown atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. pada November 2018.
Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown, membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan tersebut telah memfitnah dan merosakkan reputasi baginda kerana baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA.
Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya. – UTUSAN ONLINE