Bicara saman fitnah RM2.5 juta Siti Nordiana terhadap lima defendan 29 September - Utusan Malaysia

Bicara saman fitnah RM2.5 juta Siti Nordiana terhadap lima defendan 29 September

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 29 September ini bagi perbicaraan tuntutan saman RM2.5 juta penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.

Kelima-lima defendan termasuk penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan perbicaraan didengar selama dua hari iaitu pada 29 dan 30 September ini menerusi aplikasi Zoom.

Beliau turut mengarahkan Siti Nordiana, 37, atau lebih dikenali sebagai Nana (plaintif) dan defendan-defendan memfailkan dokumen pra perbicaraan dua minggu sebelum perbicaraan bermula manakala pernyataan saksi, seminggu sebelum itu.

Mahkamah turut menetapkan 13 September ini agar plaintif memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana selepas pengurusan kes saman itu yang dijalankan di hadapan hakim berkenaan secara dalam talian (e-Review).

Prosiding itu turut disertai oleh Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo, isterinya serta Syura manakala Nurul Hafidzah Hassan bertindak bagi pihak Sam dan Razidah.

Pertelingkahan di antara Siti Nordiana dan lima defendan gagal menemukan titik penyudah apabila penyanyi itu memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM2.5 juta atas dakwaan memfitnahnya secara langsung dalam laman Instragram.

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Menurut writ saman yang dihantar secara e-mel, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya