Bicara kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB ditangguh esok - Utusan Malaysia

Bicara kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB ditangguh esok

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan esok bagi mendengar perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Perbicaraan yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan kerana pada masa yang sama bekas Perdana Menteri mempunyai satu prosiding di Mahkamah Rayuan berkaitan tuntutan tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.

Sehubungan itu, prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung esok dan 10 hari berikutnya iaitu pada 6 hingga 9 September, 4 hingga 7 Oktober dan 20 serta 21 Oktober ini.

Tujuh saksi pendakwaan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu setakat ini.

Pihak pendakwaan dijadualkan memanggil 11 saksi lagi pada perbicaraan kelak.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya