KUALA LUMPUR : Pelakon jelita, Izara Aishah, 29, berpendapat, walaupun sudah selesa tampil dengan imej bertudung dan lebih muslimah kini, tidak bermakna ia menjadi satu halangan untuk dirinya menjaga aspek kecantikan dan penampilan diri.
Bagi Izara, sebagai wanita tiada salahnya masih mengekalkan rutin kecantikan memandangkan ia mampu membangkitkan keyakinan diri.
“Nak berhijrah ke atau nak melawa? Nak dua-dua! Jangan serius sangat,” katanya dalam satu ciapan yang dimuat naik di Twitter semalam berserta gambar yang memaparkan dirinya manis bertudung penuh.
Menerusi ciapan yang sama, Izara juga menyatakan rasa terima kasihnya kepada peminat dan pengikut yang telah mendoakan segala yang baik buat dirinya.
“Terima kasih kepada yang bagi saya kata-kata semangat, yang selalu positif dan sangka baik,”katanya.
Dalam pada itu, menantu kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga tidak melihat dirinya akan menjadi usahawan tudung sebagaimana segelintir artis bertudung yang lain.
Ini kerana, dirinya lebih selesa menjadi pembeli berbanding menjual.
“Jual tudung bukan pilihan saya. Maaf. Saya lebih suka membeli. Tetapi, pernah ada impian, saya selalu nak mulakan jenama baju sendiri.
“Tapi buat masa sekarang ini malas. Perlukan masa kerana saya sibuk menjaga anak kecil saya dan gembira dengan perniagaan ENYA,”katanya.
Pada 14 Ogos lalu, Izara tampil membuat kejutan ramai apabila dia memuat naik gambar bertudung penuh dan menepati syariah Islam di Instagramnya.
Selain itu, dia juga bertindak memadam gambar-gambar lamanya di akaun tersebut sekali gus mengundang pelbagai tanda tanya daripada peminat dan pengikutnya.