GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak berwajib memberi perhatian serius berhubung insiden tanah runtuh berhampiran Pusat Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau, dekat sini semalam.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih segera untuk menjamin keselamatan dan kestabilan cerun manakala tindakan mitigasi perlu dilakukan supaya masalah itu tidak berulang pada masa depan.
Dalam masa sama kata beliau, penduduk berdekatan juga perlu dipindahkan segera sekiranya kejadian itu melibatkan penduduk bagi menjamin keselamatan mereka.
“SAM berpandangan setiap cerun haruslah sentiasa diperiksa bagi memastikan kukuh supaya perkara-perkara yang membabitkan hakisan atau kejadian tanah runtuh tidak berlaku dengan mudah, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang mana kita akan berhadapan dengan ribut serta hujan lebat yang lebih kerap.
“Disebabkan perkara sebegini jugalah, SAM mengulangi pendirian tidak menyokong sebarang pembangunan melibatkan kawasan cerun atau lereng bukit kerana bimbang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku serta memusnahkan ekosistem bukit,” katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memaklumkan bangunan Pusat Falak Sheikh Tahir itu tidak selamat untuk diduduki selepas berlaku kejadian batu menggelongsor dari tebing sehingga menyebabkan tanah runtuh.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 petang ekoran hujan lebat.
Menurut Meenakshi, pihaknya difahamkan kejadian itu disebabkan kegagalan ‘stone pitching’ bagi protection slope (perlindungan cerun) akibat hujan lebat sehingga menyebabkan batu-batu besar gelongsor.
Jelasnya, walaupun terdapat maklumat mengenai keselamatan bangunan kerana tiada kerosakan pada struktur bangunan, namun perkara itu perlu diteliti dan dikaji secara mendalam.
“Ini kerana apabila melibatkan runtuhan tanah bukit, kita perlu berhati-hati kerana kesan sampingan daripada runtuhan berkemungkinan besar akan kembali berlaku,” katanya.