PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal, Ayda Jebat tampil memberi reaksi berkenaan proses kelahiran bayi ekoran banyak menerima mesej serta komen yang mempersoal seseorang ibu bersalin secara pembedahan.
Menurut Ayda, dia tidak mahu memberi komen lebih mengenai isu berkenaan, malah memilih untuk meluahkan hal yang positif sahaja.
“Saya baca ramai yang mesej dan komen pada beberapa laman, yang kata ‘Czer? Tidak real lah menjadi ibu’, ‘macam mana nak menjadi ibu jika kau pun melahirkan secara pembedahan’, ‘Ikut tingkap ke? Malunya’.
“Saya tidak mahu memberi ulasan tentang ini. Saya di sini untuk menyebarkan hal positif. Kepada ibu-ibu yang memilih atau terpaksa melakukan pembedahan, ia atas faktor kesihatan dan keselamatan bayi serta anda.
“Tolong jangan malu, sedih serta tertekan. Ada yang sampai rahsiakan pembedahan kerana takut dan malu digelakkam serta diperlekehkan oleh ibu yang bersalin normal. Kenapa sampai jadi macam ini?” katanya.
Sehubungan itu, penyanyi lagu Parah Parah itu menegaskan agar orang di luar sana tidak lagi mempersoalkan isu melahirkan bayi, malah sentiasa menyokong satu sama lain.
“Normal atau pembedahan, tujuannya sama, ingin anak dan ibu selamat serta sihat. Doa yang baik-baik. Berhenti fikir negatif! Kita perlu sokongan, bukan cemuhan.
“Keluar di mana pun, perut masa mengandung kecil atau besar, anda tetap seorang ibu,” katanya di Instagram.
Dalam pada itu, Ayda menzahirkan penghargaan buat semua yang mendoakan kesejahteraan dirinya dan bayi dalam kandungan.