PETALING JAYA: Penyanyi bersuara emas, Fazli Zainal berkongsi perkembangan tahap kesihatan terkini yang masih dirawat di hospital akibat jangkitan virus Covid-19.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu Harapan itu berkongsi tahap oksigennya terkini sambil merakamkan penghargaan buat semua pihak yang tidak lekang mendoakan kesihatannya.
“Perkembangan terkini, Alhamdulillah tahap oksigen saya 96 peratus. Tekanan darah pula 136/82, cantik sangat.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan saya,” tuturnya ringkas menerusi Instastory.
Semalam, penyanyi itu turut berkongsi perkembangan kesihatannya yang dilihat semakin baik menerusi satu video yang dimuat naiknya.
“Alhamdulillah, beransur pulih dan nampak perkembangan. Sabar ya semua, Alhamdulillah saya sangat okey. Terima kasih atas doa semuanya,” tulisnya di Instagram.
Sebelum ini, Fazli telah dikejarkan ke hospital selepas paras oksigen dalam tubuh badannya menurun ke 75 peratus.
Kemudian, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) bagi meningkatkan kembali tahap oksigen dalam tubuh badannya.