Bekas pengurus pentadbiran Yayasan Hijrah Selangor didenda RM23,000 - Utusan Malaysia

Bekas pengurus pentadbiran Yayasan Hijrah Selangor didenda RM23,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas Pengurus Pentadbiran di Yayasan Hijrah Selangor didenda RM23,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan diberikan rasuah berjumlah RM12,000, tiga tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh turut mengarahkan perintah penjara lapan bulan sekiranya tertuduh, Mohamad Rozaidi Othman, 36, gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Rozaidi dituduh diberikan suapan berjumlah RM3,200 daripada Muhammad Firdaus Othman melalui akaun simpanan Maybank sebagai upah bagi melantiknya sebagai ejen perkhidmatan daripada syarikat Takaful Malaysia.

Ini bertujuan mengendalikan insurans bagi pihak Yayasan Hijrah Selangor selama satu tahun yang mana melanggar peruntukan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pihak SPRM dan pegawai polis yang paling hampir.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 14 Jun 2018.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, tertuduh didakwa diberikan suapan berjumlah RM8,800 daripada individu sama atas tujuan yang sama di lokasi sama pada 25 Jun 2018.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, bapa kepada dua orang cahaya mata itu menghubungi kenalannya, Muhammad Firdaus yang merupakan seorang ejen insurans dari syarikat Capspring Temasik untuk berbincang tentang perkhidmatan insurans pada pertengahan tahun 2017.

Tertuduh memaklumkan kepada Muhammad Firdaus supaya menyediakan sebut harga insurans berkelompok kepada Yayasan Hijrah Selangor yang akan tamat pada pertengahan Mac 2018.

Dalam perbincangan itu, tertuduh ada menyebut yang dia mahukan bahagian bagi pihak dirinya sendiri sebanyak dua peratus dan lima peratus bagi pihak yayasan daripada jumlah komisen yang Muhammad Firdaus terima.

Muhammad Firdaus bersetuju dengan cadangan tertuduh dan tertuduh juga berjanji akan memberikan tender insurans tersebut kepada Muhammad Firdaus yang merupakan ejen dari syarikat Capspring Temasik.

Pada 14 Jun 2018, Muhammad Firdaus memasukkan wang berjumlah RM3,200 kepada tertuduh melalui bayaran atas talian kepada akaun Maybank.

Pada tarikh yang sama juga, tertuduh meminta Muhammad Firdaus untuk membuat baki bayaran tambahan melalui WhatsApp sehingga 50 peratus daripada jumlah komisen yang Muhammad Firdaus terima.

Pada 21 Jun 2018, tertuduh menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada Muhammad Firdaus bertanyakan tentang bila baki bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam akaunnya.

Pada 25 Jun 2018, tertuduh menghantar beberapa pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp mendesak supaya Muhammad Firdaus memasukkan baki yang dipersetujui sebanyak RM8,800.00 dimana RM12,000 ditolak dengan RM3,200 yang diterimanya.

Pada 25 Jun 2018, lebih kurang pukul 3.30 petang, Muhammad Firdaus membuat dua kali kemasukan wang tunai menggunakan mesin Cash Deposit Machine (CDM) di Maybank Cawangan Bandar Sunway masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,800 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Wang tunai RM8,800 adalah wang perangkap SPRM yang dimasukkan Muhammad Firdaus ke dalam akaun tertuduh dan setelah wang tersebut dimasukkan, akaun tertuduh dibekukan oleh pihak SPRM.

Peguambela, Muhammad Farhan Ahmad Fadzil dalam rayuan hukuman memohon hukuman denda paling minimum memandangkan anak guamnya dibuang kerja oleh Yayasan Hijrah Selangor pada tahun 2018 dan kini hanya bekerja sebagai penghantar ikan dengan pendapatan RM1,500 sebulan berdasarkan gaji harian.

“Tertuduh memohon maaf dan kejadian ini memberikan 1,001 iktibar dan keinsafan kepadanya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab memohon hukuman setimpal supaya dapat menghantar mesej kepada tertuduh untuk tidak mengulangi kesalahan ini pada masa hadapan.

Pihak pendakwaan turut memohon agar wang tunai RM8,800 di dalam akaun tertuduh dilucut hak kepada pihak SPRM kerana ia adalah wang perangkap.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan tertuduh membayar kesemua denda terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya