Bekas pengarah SRC mohon dua pihak lain tanggung kerugian - Utusan Malaysia

Bekas pengarah SRC mohon dua pihak lain tanggung kerugian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi agar dua bekas pengarah syarikat itu menanggung semua kerugian yang dialaminya ekoran tuntutan saman syarikat berkenaan.

Mohammed Azhar menuntut kedua-dua bekas pengarah SRC, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail dimasukkan sebagai pihak ketiga agar mereka menanggung semua kerugian yang dialami berkaitan saman itu.

Mohammed Azhar membuat tuntutan itu menerusi notis pihak ketiga yang difailkan melalui Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff pada 27 Ogos lalu.

Beliau antara lain menuntut supaya Shahrol Azral dan Ismee secara bersama dan berasingan menanggung penuh (fully indemnity) kesemua kerugian yang akan ditanggung olehnya selaku defendan keempat jika beliau didapati bertanggungjawab ke atas tuntutan saman oleh SRC.

Pada 7 Mei lalu, SRC di bawah pengurusan baharu memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan enam lagi atas dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Selain bekas Perdana Menteri, turut dinamakan sebagai defendan ialah Mohammed Azhar, Datuk Suboh Md. Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Ismee dan Shahrol Azral.

Bagaimanapun, pada Julai lalu, SRC mengeluarkan nama Shahrol Azral dan Ismee daripada saman itu dan mengekalkan yang lain sebagai defendan.
Kedua-duanya pernah memberi keterangan dalam kes SRC melibatkan Najib.

Beliau turut menuntut semua kos prosiding yang ditanggung olehnya dalam membela tuntutan plaintif dan prosiding pihak ketiga itu, ditanggung oleh Shahrol Azral dan Ismee.

Mohammed Azhar juga menuntut semua perbelanjaan (termasuk bayaran guaman di atas dasar peguamcara-anak guam, pembayaran dan jumlah lain yang ditanggung olehnya serta relif yang difikirkan wajar dan sesuai oleh mahkamah.

Beliau memfailkan permohonan itu antaranya atas alasan transaksi berhubung pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion berlaku semasa Shahrol Azral dan Ismee adalah Pengarah SRC.

Menurut Mohammed Azhar, Shahrol Azral adalah Pengarah SRC bermula 1 Ogos 2011 sebelum beliau meletak jawatan pada 15 Mei 2012 manakala Ismee pula pengarah syarikat itu dari 1 Ogos 2011 sebelum beliau meletak jawatan pada 15 Ogos 2014.

SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ samannya mendakwa semua defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah selain mendakwa Najib menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut perisytiharan agar semua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC berkata pada Januari 2019, syarikat itu diletakkan di bawah jagaan pegawai Kementerian Kewangan (pengurusan baharu) dan selepas menyemak rekod SRC, didapati pengarah terdahulu tidak mengambil sebarang langkah munasabah bagi memastikan pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC pada 2011 dan 2012 digunakan dengan betul bagi membiayai aktiviti pelaburan am syarikat itu serta keperluan modal kerja am.

SRC mendakwa pengarah terdahulu tidak memantau pelupusan RM3.6 bilion kepada SRC BVI (dana pelaburan dicadangkan) kononnya bagi SRC melaksanakan aktiviti pelaburan dalam sektor sumber tenaga di luar negara dan mereka juga gagal memantau keterdedahan kerajaan Malaysia berhubung jaminan yang diberikan selain gagal menyiasat penyelewengan dana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya