SHAH ALAM: Seorang bekas pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah membuat laporan palsu, enam hari lalu.
Majistret Sabreena Bakar @ Bahar mengarahkan tertuduh, S. Logendiran menjalani hukuman penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Logendiran, 33, dituduh memberikan kepada seorang polis maklumat secara bertulis iaitu laporan polis palsu di Balai Polis Sri Muda, Shah Alam pada pukul 4.42 petang, 24 Ogos lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam bela, Muhd. Fairul Ezany dan Shalehhuddin Salam memohon agar hukuman lebih rendah dikenakan memandangkan dia telah kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
“Anak guam saya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori tetapi telah kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
“Dia menanggung kedua orang tua yang masing-masing berusia 64 dan 67 tahun selain sudah menginsafi kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin bagaimanapun memohon hukuman yang setimpal mengambil kira kepentingan awam.
“Pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal memandangkan kesalahan dilakukan adalah melibatkan urusan rasmi dengan pihak polis,” jelasnya.
Tertuduh membayar denda tersebut.