JOHOR BAHRU: Bekas pegawai eksekutif syarikat makanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang tanpa lesen yang sah berjumlah RM10,000, pada Mac tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Fadzli Jamaludin, 31, bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menerima deposit daripada seorang lelaki berjumlah RM10,000 tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (AKTA 758).
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 11.27 malam di No. 94 Jalan Manis 8, Taman Manis, Kelapa Sawit, Kulai, pada 3 Mac 2020.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.
Bagi pendakwaan itu, hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali diperuntukkan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien yang mencadangkan kepada mahkamah untuk mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Tetapi peguam, B. Puvarasan yang mewakili tertuduh memohon jaminan diringankan di bawah RM10,000 memandangkan anak guamnya hilang pekerjaan dalam tempoh pandemik selain mempunyai dua tanggungan termasuk anak yang berusia dua tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan tawaran jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 29 September ini sebagai sebutan semula kes dan untuk serahan dokumen.