PETALING JAYA: Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkuat kuasa 3 Ogos.
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Rahman berkata, pelantikan itu adalah bagi menggantikan Jeneral (Bersara) Datuk Seri Diraja Mohd. Zahidi Zainuddin yang bersara selepas berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.
“Dengan pengalaman beliau dalam kepimpinan ketenteraan, beliau membawa bersama tradisi kepimpinan yang efektif yang akan memandu LTAT dalam perjalanan transformasi menjadi sebuah dana persaraan yang mapan dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Raja Mohamed Affandi mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan (Australia) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik (Pakistan).
Raja Mohamed Affandi dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada 16 Disember 2016 sebelum bersara pada 2018 selepas menabur khidmat bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 42 tahun.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam beberapa jawatan antaranya Panglima Tentera Darat, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Panglima Medan Tentera Darat.
Pada masa sama, Ahmad Nazim menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi LTAT terdahulu, Mohd. Zahidi.
“Jasa beliau memimpin dan membimbing LTAT serta barisan pengurusan kanan dalam pelbagai inisiatif selama ini amat dihargai.
“Saya mewakili warga LTAT, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas segala khidmat bakti serta kebijaksanaan sepanjang beliau berkhidmat sebagai pengerusi kami,” katanya.