KUANTAN: Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini membenarkan seorang bekas majistret membela diri selepas didakwa menerima suapan sebanyak RM210,000 kira-kira tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Amin Shahul Hamid, 40, yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah telah didakwa meminta dan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas sebagai majistret di Mahkamah Raub dan Lipis, didakwa meminta rasuah sebanyak RM100,000 dan menerima rasuah RM110,000 pada 5 Julai hingga 22 Oktober lalu daripada, Hassan Basri Sutan Modo di sekitar Raub dan daerah Lipis.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara dan hanya mengenakan denda terhadap Hassan Basri yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup yang bernilai RM6,613.20 dan RM1,051.28 di Mahkamah Majistret Kuala Lipis.
Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam, SN Rayer manakala pasukan pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain kemudiannya menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh tertuduh membela diri dan 19 November sebagai tarikh bagi hujahan akhir pembelaan. – UTUSAN ONLINE