Bekas kakitangan JKM mengaku bersalah 25 dakwaan seleweng wang - Utusan Malaysia

Bekas kakitangan JKM mengaku bersalah 25 dakwaan seleweng wang

BEKAS Pembantu Pembangunan Masyarakat JKM Timur Laut dihadapkan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas 25 pertuduhan penyelewengan wang jabatan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang bekas Pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Timur Laut di sini mengaku bersalah atas 25 pertuduhan penyelewengan wang jabatan itu berjumlah RM107,370 antara 2014 hingga 2017.

Mohamed Hussain Mohamed Mydin, 41, mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Majistret yang berasingan di sini hari ini.

Di hadapan Majistret R. Manomani, Mohamed Hussain mengaku bersalah terhadap 12 pertuduhan berasingan dibawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi penjelasan munasabah terhadap wang dalam akaun milikannya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung wang berjumlah RM52,049 dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2017.

Berdasarkan fakta mahkamah, pertuduhan ke atas tertuduh adalah ekoran laporan polis dibuat pegawai JKM Timur Laut yang mendapati berlakunya penyelewengan wang jabatan berkenaan berjumlah RM107,370 yang dibuktikan menerusi laporan audit antara 2013 dan 2017.

Manomani kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 untuk setiap satu pertuduhan dan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu, di hadapan Majistret Rosnee Mohd Ridzuan, tertuduh turut mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu gagal memberikan penjelasan munasabah terhadap wang berjumlah RM11,260 di dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2016.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda maksimum RM1,000 terhadap setiap satu pertuduhan serta lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah dan Mohamed Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili R. Puran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sementara itu, bagi sembilan lagi pertuduhan, Mohamed Hussain turut mengaku bersalah di hadapan pembantu pendaftar mahkamah Muna Maria Azmi namun keputusan terpaksa ditangguhkan kerana Majistret sedang bercuti.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 Ogos ini untuk hukuman dijatuhkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya