KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif pembelian sebuah syarikat minyak dan gas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan gagal melapor dua kesalahan rasuah yang diberikan kepadanya, tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin menjatuhi hukuman denda itu terhadap Nor Azleela Ali, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama dua bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Terdahulu sebelum hukuman, Suzana menasihatkan secara ringkas supaya tertuduh insaf selain berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.
Mengikut pertuduhan pilihan pertama dan kedua, tertuduh sebagai eksekutif di Sapura Energy Berhad telah diberikan wang suapan berjumlah RM4,000 oleh pengarah sebuah syarikat melalui akaun simpanan Bank CIMB milik tertuduh.
Wang suapan itu diberikan kepada tertuduh sebagai dorongan membocorkan maklumat harga tender syarikat lain bagi projek ‘Provision Of Engineering, Procurement, Construction, Installation And Commissioning (EPCIC) Of Pegaga Development Project’ daripada Sapura Energy Berhad.
Tindakannya itu melanggar peruntukan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) iaitu tertuduh gagal melaporkan kesalahan pemberian suapan tersebut kepada SPRM dan pihak polis.
Kesalahan itu dilakukan di Bank CIMB, Cawangan Solaris Mount Kiara, Jalan Solaris di sini masing-masing pada 23 Mei dan 6 Oktober tahun lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda dan tidak mengenakan hukuman penjara dengan alasan tidak mempunyai pendapatan selepas diberhentikan kerja.
“Saya mengaku salah dengan apa yang saya lakukan kerana sepanjang berada dalam lokap SPRM selepas ditahan sudah cukup memberi pengajaran.
“Pada masa sama saya juga mempunyai tanggungan keluarga iaitu ibu yang sudah uzur serta seorang adik yang merupakan orang kurang upaya (OKU),” katanya sambil menahan sebak.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noryusriza Zulkifli yang mewakili pendakwaan mengesahkan tertuduh telah ditahan reman selama empat hari bermula 14 April hingga 17 April lalu dan terpulang mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja tender pembekalan cat untuk projek EPIC of Pegaga Development telah menghubungi seorang lelaki dan meminta wang sagu hati (token appreciation) kerana tertuduh telah membocorkan maklumat berkaitan harga tender syarikat lain yang bersaing untuk tender bagi projek tersebut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh gagal melaporkan pemberian rasuah RM4,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh yang mana ia sebagai dorongan tertuduh membocorkan maklumat.