KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyangkal dakwaan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau terbabit salah laku dalam kes rasuah membabitkan dana kekayaan negara bernilai RM2.28 bilion.
Saksi ke-10 pendakwaan, Mohd. Hazem Abd. Rahman, 49, menafikan demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berpendapat, beliau melakukan salah guna kuasa dengan membenarkan pemindahan AS$250 juta daripada 1MDB ke Aabar Investment PJS Limited pada 2014.
Semasa perbicaraan hari ini, Muhammad Shafee mendakwa Hazem melakukan banyak kesalahan jenayah menandatangani perjanjian tersebut, dengan alasan bahawa saksi melakukannya tanpa kebenaran jelas daripada Najib.
“Kamu telah melakukan pengubahan wang haram, bukan anak guam saya (Najib), dengan menyamarkan hasil aktiviti haram dan mengeluarkan dana dari Malaysia kepada entiti asing?,” soal Muhammad Shafee.
Mohd Hazem kemudian tidak bersetuju dengan soalan tersebut.
Sebelum ini, dalam pernyataan pembukaan oleh pihak pendakwaan pada awal perbicaraan rasuah membabitkan Najib dua tahun lalu, dikatakan tertuduh bersetuju agar anak syarikat 1MBD, 1MDB Energy Holdings Ltd. memperoleh dua pinjaman berjumlah AS$ 1.225 bilion daripada Deutsche Bank Singapura.
Pihak pendakwaan berkata, ia membabitkan pinjaman penyambung sebanyak AS$250 juta dan pinjaman kemudahan sebanyak AS$975 juta dengan pinjaman tersebut didakwa dijamin dengan jaminan yang diberikan oleh 1MDB Energy dan 1MDB Langat.
Pinjaman pertama berjumlah AS$250 juta didakwa diberikan pada 26 Mei 2014. Daripada jumlah itu, sejumlah AS$239,939,970 didakwa dibayar ke akaun 1MDB Energy Holdings Ltd. dengan Falcon Bank Hong Kong pada 28 Mei 2014.
Daripada jumlah itu, Energy Holdings membayar Aabar Investments PJS Ltd BVI sebanyak USD175 juta ke akaunnya di BSI Lugano, Switzerland yang dikatakan sebagai sebahagian menebus pilihan yang diberikan sebagai jaminan tambahan yang disebut dalam fasa kedua.
Terdahulu, perbicaraan itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang sepatutnya berlangsung bermula 9 pagi ditangguhkan ke sebelah petang kerana Najib perlu menghadiri mesyuarat berhubung calon Perdana Menteri mewakili Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Muhammad Shafee memaklumkan anaknya selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN perlu menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Terdapat mesyuarat penting antara semua parti komponen BN, Bersatu dan beberapa parti lain yang tidak boleh disebut berhubung siapa yang akan mengetuai kerajaan.
“Kehadiran anak guam saya, bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan adalah wajib bagi membuat keputusan mengenai nama yang akan diserahkan untuk tujuan pemilihan Perdana Menteri,” katanya.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan permohonan penangguhan itu dan perbicaraan itu perlu disambung pada 2.30 petang.
Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung pada esok. – UTUSAN ONLINE