PETALING JAYA: “Kenapa pulak ni? Ziyad Zolkefli tetap juara kami!
Demikian perkongsian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai nasib Ziyad Zolkefli yang menggegar Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila mempertahankan pingat emas lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) bersama rekod baharu dunia sebentar tadi.
Bagaimanapun persoalan timbul sama ada kemenangan itu disahkan atau dibatalkan.
Terdahulu, pingat emas yang dimenangi atlet lontar peluru negara itu dilaporkan ditarik semula selepas terdapat protes daripada peserta Ukraine.
Peserta Ukraine mendakwa, Ziyad lewat memasuki call room yang mana telah melanggar peraturan.
Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan ringkas di dalam laman sosial Facebooknya berkata, perkara berkenaan masih dalam perbincangan antara Technical Delegate dengan tiga negara yang counter protes Ukraine iaitu Malaysia, Australia dan Ecuador.
“KSU Kementerian Belia dan Sukan bersama CDM berada di lapangan. Protes Ukraine terhadap 3 negara amat lemah. Ketiga-tiga negara sedang protes. Doakan,” katanya.
Kita tunggu penjelasan lanjut.