Barisan baharu Kabinet dipercayai mampu pulihkan negara - Utusan Malaysia

Barisan baharu Kabinet dipercayai mampu pulihkan negara

Wan Ahmad Wan Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Kabinet baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan baik dan diyakini mampu menangani krisis Covid-19 dan pemulihan ekonomi serta kehidupan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, asas pertimbangan pemilihan pasukan kerajaan baharu ini ialah bersih dan berpengalaman, kestabilan kerajaan dan pencapaian hasil.

Kata beliau, ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah satu keputusan bijak dalam memastikan kesemua dapat melaksanakan tugas berorientasikan hasil.

Sebagai contoh, kata beliau, Khairy Jamaluddin merupakan seorang pemimpin berkualiti dan berkeupayaan selain berdedikasi dan mewakili orang muda.

“Pengekalan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pula amat tepat mengambil kira pengalaman ekonomi dan kewangan serta memberi peluang kepadanya untuk meneruskan program Pelan Pemulihan Negara dan belanjawan negara.

“Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga berpengalaman dan memahami tugasnya ke arah menambah baik program-program yang dirangka, begitu juga Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam soal ekonomi dan agenda bumiputera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, perubahan portfolio Tan Sri Annuar Musa juga amat baik kerana beliau dilihat berkeupayaan dalam hubungan awam dalam kerajaan selain Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dianggap ‘team player’.

Katanya, pemilihan beberapa pimpinan tertinggi parti juga dilihat mampu mengimbangi kestabilan politik antaranya Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Rina Mohd. Harun.

Beliau menjelaskan, begitu juga pelantikan muka baharu seperti Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Noh Omar dan Idris Ahmad mampu mengukuhkan lagi kepemimpinan kerajaan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, Datuk Seri Azalina Othman Said amat diharapkan dapat diangkat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selain berharap beberapa jawatankuasa dilantik dalam kalangan wakil rakyat pembangkang di Parlimen sebagai Pengerusi untuk memperkasakan lagi aspek semak dan imbang di Parlimen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya