PETALING JAYA: Bantuan secara one-off kepada pusat-pusat tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat (SAR) yang berdaftar di bawah jabatan agama negeri-negeri akan tetap diteruskan pada tahun ini.
Bantuan bernilai RM20,000 hingga RM30,000 tersebut sudah diberikan kepada mereka sejak tahun lepas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan tetap komited untuk membantu semua pusat tahfiz meskipun ia merupakan pusat tahfiz persendirian.
Namun tegasnya, pusat tahfiz persendirian perlu menepati keperluan yang ditetapkan oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum melayakkan mereka untuk mendapat bantuan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan lebih 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dianggarkan 140 pusat tahfiz di seluruh negara ‘gulung tikar’ atau menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.
Ahmad Marzuk berkata, pihaknya tidak boleh berkompromi mengenai soal keselamatan anak-anak pelajar, oleh sebab itu penilaian yang tegas perlu dilakukan untuk melayakkan pusat-pusat tahfiz swasta mendapat bantuan, aspek utama yang akan dinilai adalah dari segi keselamatan.
‘’Aspek keselamatan yang dimaksudkan adalah melepasi syarat dari pihak bomba sekiranya berlaku kebakaran, pusat-pusat tahfiz swasta yang menepati ciri-ciri sebagai pusat pembelajaran kondusif kepada pelajar adalah layak untuk menerima bantuan secara one-off ini,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM100 juta telah diluluskan tahun lepas oleh Kementerian Kewangan bagi projek pembangunan kecil, itu termasuklah pusat tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat.
Tambah Marzuk, hampir 3,000 pusat tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat telah mendapat sumbangan one-off pada tahun lepas dan usaha murni tersebut masih diteruskan sehingga sebelum akhir tahun 2021.