PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh rakyat Malaysia membangkitkan semangat patriotisme dan menterjemahkan solidariti dengan mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda bersatu padu dalam melawan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri berkata, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia sekali gus mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran mendatang.
“Saya berharap kita dapat bersama-sama menterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah Jalur Gemilang, sebagai tanda kita sentiasa bersatu padu dalam melawan pandemik Covid-19 ini.
“Saya juga yakin setelah 64 tahun negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan, amalan mengibar Jalur Gemilang ini sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian saudara dan saudari tanpa rasa malu dan janggal,” katanya ketika melancarkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021.
Perdana Menteri berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini masih mengekalkan tema sama seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara.
Selain itu katanya, ia bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat ketika masih memerangi pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
Muhyiddin berkata, walaupun negara masih berada dalam tempoh agak mencabar susulan wabak itu, namun beliau yakin seluruh rakyat mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi dan dapat mengambil iktibar dan aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah yang menyaksikan negara mencapai kemerdekaan.
“Kita telah dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat kita.
“Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara, yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada kita semua.
“Kali ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak Covid-19 ini,” katanya.
Perdana Menteri pada masa sama mahu seluruh rakyat menyahut seruan kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat.
Beliau percaya, semua dapat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau kenderaan masing-masing demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih daripada wabak Covid-19 sekali gus dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama.
“Saya percaya melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, kita dapat mengekalkan kehidupan harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang,” katanya.