PETALING JAYA: Pelawak terkenal tanah air, Shuib Sepahtu, berkongsi keadaan cahaya mata keempatnya bersama penyanyi Siti Sarah, yang kini masih berada di hospital bagi mendapatkan rawatan ekoran kelahiran pra matang.
Menerusi entri Instagram, Shuib memaklumkan bayinya yang diberi nama Ayash Affan, kini telah memberi reaksi yang aktif dan keadaannya juga stabil.
“Alhamdulillah, Ayash Affan (bayi baru lahir pra matang tujuh bulan). Dr. Faiz dari Hospital Universiti Ke bangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu pagi ini dia sudah membuka mata, kaki dah menendang-nendang.
“Selain itu, tangan Ayash juga bergerak aktif dan keadaan bayi stabil. Ya Allah syukur, ini juga berkat doa anda semua yang tidak berhenti mendoakan kesihatan Ayash.
“Saya balikkan doa-doa kalian, semoga anda semua juga dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik serta terhindar dari segala kemudaratan. InsyaAllah,” tulisnya menerusi Instastory.
Semalam, Siti Sarah terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), di hospital berkenaan berikutan tahap oksigen yang masih tidak stabil.
Kemudian, penyanyi itu selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang, namun masih belum sedarkan diri selepas melakukan pembedahan sejak pukul 2 petang, semalam.