“Ayah tidak mahu Attar menempuh kejahilan sama macam ayah dulu” - Aeril Zafrel - Utusan Malaysia

“Ayah tidak mahu Attar menempuh kejahilan sama macam ayah dulu” – Aeril Zafrel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aeril Zafrel menitip doa agar kejahilannya dahulu tidak berulang dalam hidup anak-anaknya sebagaimana khilaf yang telah dilakukannya.

Dalam coretan panjang di Instagram sempena hari kelahiran putera pertama, Ahmad Fakharuddin Attar yang ke lapan tahun, Aeril beriltizam untuk terus memimpin anaknya ke jalan yang benar.

“Attar… bukti pertama ikatan cinta suci mulia ayah dan mama. Biarpun awalnya dihempas badai gelora tapi hikmahnya menjadi sumber kekuatan buat kami, yang semuanya menjadi ‘manis’ akhirnya! Kebahagiaan demi kebahagiaan datang mencurah.

“Sesungguhnya, mendahulukan dan mencari ‘reda Allah’ adalah kunci rahsianya. Attar kena genggam ini dan amalkan dalam hidup. Insya-Allah pasti ada jalan keluar dalam apa jua masalah yang menerpa. Ketahuilah anak, kita tidak akan mampu memuaskan hati semua manusia dan berbuat sesuatu untuk mencari reda manusia adalah hal yang sia- sia!

“Ayah tidak mahu Attar menempuh sama alam kejahilan ayah dulu. Cukuplah ayah seorang. Sebab itu, daripada kecil sampai menjangkau Attar dewasa nanti, ayah tidak pernah lelah mendekatkan Attar pada jalan-jalan mencintai dan dicintai Tuhan,” luah bapa kepada tiga cahaya mata.

Luah pelakon ini lagi, semoga di mana dan sebagai apa pun Attar, Allah selalu memelihara dan melindunginya ketika penjagaan Aeril tidak lagi sampai kepadanya.

“Namun walau sejauh mana pun terpisahnya kita, tetap nanti ada untaian doa dan kiriman ‘hasanah amal jariah’ bagi ayah dan mama. Bila tiba saatnya, Attar akan ganti tempat ayah untuk menuntun dan menjaga adik-adik.

“Ikat hati kalian dengan iman dan taqwa kerana itu yang menyatukan hati dan perasaan yang hakiki. Berapa ramai yang luarannya tampak bersama dan bersatu tapi sekadar jasad sahaja. Sedangkan hati mereka retak seribu.

“Sekiranya ada antara kalian yang sudah atau mahu ‘tergelincir’ dari jalan yang diredai Tuhan, nasihati penuh hikmah dan santuni membimbing kembali. Ingatkan juga janji mereka pada ayah dan mama,” coret Aeril.

Mengakhiri warkah itu, Aeril berharap anak-anaknya saling melengkapi supaya dapat selamat dan menyelamatkan serta berjaya di dunia akhirat.

Pasangan Aeril dan Wawa Zainal mendirikan rumah tangga pada 2013 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan tiga orang anak, Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, dan Aya Soffya, 1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya