Asal artis saja, ‘lagha’ - Nabil Ahmad - Utusan Malaysia

Asal artis saja, ‘lagha’ – Nabil Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIA tidak jahil. Cuma, perubahan daripada seorang lelaki yang pernah hanyut dengan kelalaian dunia kepada seorang yang berusaha menyematkan rasa cinta kepada Allah SWT dan nabi junjungan, Muhammad SAW kini membuatkan ramai tersenyum bangga dengan Nabil Ahmad.

Bahkan, dia sendiri tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa semua ini berlaku kerana langkah pertamanya sebelum ini mengikuti kenalan-kenalan daripada kelompok tabligh yang telah membuka mata dan hatinya untuk terus mendalami agama.

Umpama satu pencarian diri yang telah ditemui, Nabil percaya perubahan ini juga tidak akan menjejaskan karier seni yang telah dibina sejak hampir 13 tahun lalu.

Namun, sering sahaja orang melabel bahawa dunia artis dan hiburan ini mana mungkin boleh berasingan tanpa lagha? Bercampur dengan bab agama? Sudah hilang akalkah?

Pun begitu, Nabil ada jawapan bernas yang dikongsi. Ikuti temu bualnya bersama Pancaindera.

Alhamdulillah atas perubahan lebih baik yang dilakukan Nabil. Tapi, adakah ini bermakna Nabil akan menjadi selektif dalam menguruskan kerjaya seni?
Saya bersyukur sangat sebab dalam perjalanan hidup dan di hujung-hujung ini Allah SWT melorongkan saya dekat dengan-Nya. Saya pun pelik, dulu suka pakai topi tapi sekarang suka pakai kopiah pula. Kalau boleh saya hendak bawa sunnah di tempat-tempat yang jarang orang bawa. Begitu juga dengan program-program TV. Selagi diberi peluang, saya akan buat. Saya akui, selalu dapat soalan ini, ‘macam mana nak kendalikan program hiburan sedangkan saya sekarang asyik cerita pasal Nabi?’ Bagi saya, buat saja, cuma selitkanlah apa yang kita belajar dan tahu dalam program itu. Sekurang-kurangnya ada sedikit yang kita boleh bawa balik nanti.

Tapi ada yang kata, kalau nak dengar dakwah atau hal agama, mereka boleh tukar sahaja siaran agama?
Benda ini adalah apa yang ustaz saya beritahu. Kalau saya keluar daripada industri hiburan ini, saya umpama meninggalkan sebuah medan perang. Sepatutnya kita buat dakwah dalam itu. Berapa ramai yang dapat peluang buat program macam saya buat? Dalam program beginilah kita selit dakwah yang kita nak bawa. Kalau keluar atau berundur, siapa yang nak buat dakwah dan kerja-kerja menyampaikan benda baik itu? Saya juga syukur sebab pihak Astro ada banyak siaran TV seperti Oasis misalnya. Ada banyak ruang yang kita boleh selitkan perkongsian kebaikan.

Dalam penghijrahan, semakin seseorang itu dekat dengan Allah SWT, orang kata akan ada lebih banyak ujian juga. Macam mana dengan Nabil?
Ujian besar saya setakat ini adalah dengan beristiqamah dalam melakukan amal ibadah. Nak bangun pagi, buat tahajud. Mula-mula dulu, rajin. Lepas itu ada momentum jadi perlahan dan lambat. Kadangkala dapat buat yang wajib saja. Tetapi saya cuba juga.
Kadangkala saya terfikir, sepatutnya bersyukur kerana dalam keadaan ramai terjejas sekarang, saya ini masih ada kerja dan bergaji walaupun tak lebat pendapatan sampingan diraih seperti sebelum pandemik berlaku. Ujian juga sekarang bila makin ramai yang minta bantuan daripada saya. Kalau dulu bolehlah bagi lebih sikit. Terbaharu, ada seorang kakak ini minta bantuan sehingga RM700,000. Tercampak juga telefon saya sebab terkejut. Dia kata ada masalah kewangan. Dengarnya dengan artis lain juga dia buat perkara sama. Rasanya, tular juga dalam media sosial hal ini. Tak tahulah dia ini betul perlukan bantuan atau apa.

Apa pandangan Nabil bila orang kata artis ini bukannya boleh dijadikan inspirasi kebaikan pun. Semua hanyut dan lagha, macam mana ya?
Itulah pandangan yang sering dilemparkan. Memang, orang kata, artis ini sekadar mengisi masa lapang, sekadar hiburan. Tapi, sejak pemergian Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin baru-baru ini, ramai yang dilihat terkesan dan terjentik hati.
Dulu, orang nampak kita di TV, alahai, dia ini buat duit saja ini, lepas itu hidup senang. Tapi Siti Sarah telah meninggalkan kesan dahsyat dan membuka mata banyak orang bahawa golongan artis juga tidak semuanya lagha. Saya harap dengan impak Siti Sarah itu, dapat kurangkan orang berkata-kata buruk tentang sesiapa sahaja dalam media sosial. Dari persepsi agama, saya lihat, Allah SWT sedang nak bantu kita untuk betulkan amalan kita. Kalau dulu ada yang kaki bantai orang, kaki kecam orang, harapnya timbul kesedaran. Insya-Allah.

Selama Nabil sudah berhijrah ini, ada tak kawan yang menjauh? Maklumlah sebab takut kena ceramah…
Baru malam kelmarin saya ada kelas agama secara virtual dengan kawan-kawan sekampung. Nak belajar fiqah dan akidah dengan ustaz. Dulu mereka ini tak ada langsung bertanya atau bercerita pasal agama, tapi selepas dapat tahu saya sertai tabligh, mereka banyak tanya dan mesej saya. Terus-terang, dulu, kawan-kawan lagi menjauh daripada nak mendekat sebab saya dululah yang bagi pengaruh tak baik pada mereka. Tak apalah, saya faham. Sekarang, kita sama-sama berusaha jadi manusia yang lebih baik. Insya-Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya