Annuar tinjau Tangga Putrajaya - Utusan Malaysia

Annuar tinjau Tangga Putrajaya

Kapsyen: ANNUAR Musa meninjau perkembangan pembinaan Tangga Putrajaya selepas raptai penuh Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara. – FB ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas tiga hari disiarkan Utusan Malaysia, Tangga Putrajaya di sini  ditinjau sendiri oleh individu yang mengilhamkan projek ikonik tersebut, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau singgah melihat tangga berkenaan selepas hadir menyaksikan raptai penuh Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara yang juga tidak jauh dari situ.

 Menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook beliau pada hari ini, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut memuat naik tujuh foto eksklusif sekitar tinjauannya di lokasi tersebut.

Beliau yang kelihatan ceria menulis: “Sudah tentu, selepas SOP (prosedur operasi standard) dilonggarkan, ramai akan mencari lokasi untuk rekreasi, riadah dan sebagainya.

 “Tidak lama lagi, anda boleh menjadikan Tangga Putrajaya sebagai salah satu lokasi untuk dikunjungi. Hari ini saya singgah lihat perkembangan terkini tangga yang saya ilhamkan ini.”

 Laluan setinggi 30 meter dengan jarak pendakian sejauh 200 meter itu dibina seumpama paksi lurus di cerun Taman Putra Perdana menuju ke arah Mercu Tanda Putrajaya di Presint 1.

 Lokasi tangga itu juga strategik kerana berdepan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, jalan raya bulatan paling besar di dunia dan menghadap Medan Selera Laman Perdana.

 Apabila dibuka kelak, orang awam khasnya pelancong boleh berjalan dari bulatan Dataran Putra menuju Mercu Tanda sejauh satu kilometer dengan mudah dalam masa 10 minit sahaja.

 Mengulas lebih lanjut, Annuar yang juga perancang bandar profesional menambah, idea pembinaan tangga unik itu turut berdasarkan kisah kejayaan tangga ikonik lain di seluruh dunia.

 Antara yang popular ialah Tangga Selaron di Rio de Janeiro, Brazil; Tangga Joker di New York, Amerika Syarikat; Tangga Sepanyol di Rom, Itali dan Tangga Potemkin di Odessa, Ukraine.

Bersesuaian dengan konsep taman, banyak pohon rendang selain pokok bunga renek yang berwarna-warni akan ditanam rapi di kedua-dua sisi dan bahagian tengah tangga berkenaan.

“Alhamdulillah, ia kini sudah 80 peratus siap dan bakal menjadi tarikan baharu di Putrajaya kelak,” kata Annuar menerusi catatan itu yang turut meraih lebih 5,000 tanda suka dari netizen.

Ia merupakan konsep tangga ikonik kedua di Putrajaya selepas Tangga Alamanda yang ceria berwarna-warni bersebelahan pusat beli-belah ternama Alamanda dan siap awal 2019. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya