SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah bernilai RM2,000 kononnya bagi menyelesaikan kes tangkapan seorang lelaki, dua tahun lalu.
Tertuduh, Kamalruzaman Mohd Sanusi, 34, yang ketika kejadian bertugas di Bahagian Pusat Indentifikasi Forensik Setempat (PIFOS) Data Bank DNA (D13), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Harullah.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bernilai RM1,000 daripada Mohd. Faizal Abdul Hamid sebagai dorongan yang mana tertuduh sebagai penjawat awam kononnya boleh membantu menyelesaikan kes tangkapan individu terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman College Heights, Sikamat di sini pada 16 Januari 2019.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah bersetuju menerima wang tunai juga RM1,000 daripada individu sama.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar sebuah kedai kain di Senawang di sini pada 18 Januari 2019.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang kini bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada minggu pertama setiap bulan.
Kes akan disebut semula 29 September ini. – UTUSAN ONLINE