KUALA LUMPUR: “Saya tidak anggap pun diri ini begitu (anak emas),”.
Itu kata pelakon tampan Aqasha ketika mengulas dakwaan dirinya menjadi ‘anak emas’ pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Menurut pelakon berusia 38 tahun itu, dia bersama Rosyam sudah berkawan sejak di awal pembabitan dalam industri lakonan lagi dan sudah ‘masak’ dengan corak kerja masing-masing.
“Rosyam selesa bekerja dengan pelakon yang tahu tentang ruang dan cara kerjanya, saya juga begitu. Mungkin di atas persefahaman itulah saya rasa kenapa kerap bekerja di bawah syarikat produksi Suhan. Tapi terpulang kepada datuklah (Rosyam) nak jadikan saya anak emas atau tidak,” katanya berseloroh.
Menyambut gurauan Aqasha, Rosyam bagaimanapun mengiyakan andai ada yang mendakwa Aqasha anak emasnya.
“Bagi saya komitmen itu sangat penting, kalau ambil nama besar tetapi menyusahkan pihak produksi saya, orang lain pun tidak mahu.
“Aqasha ini kami pernah bekerjasama sejak dulu lagi dan sudah ibarat macam adik-beradik. Kami saling mengenali dan mudah untuk berbincang. Tiada ruang untuk kami ambil hati kalau diberi teguran,” ujar pelakon filem Laila Isabella itu
Kedua-dua bintang sama hebat itu berkata demikian pada sidang media drama bersiri Cik Ayu Mee Sanggul yang sedang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.