JOHOR BAHRU: Seorang pemandu ambulans maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan itu di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.58 pagi itu, mangsa, Shamsul Shamshuri, 49, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah selepas tersepit pada bahagian pemandu.
Difahamkan, mangsa bersama tiga lagi staf Kementerian Kesihatan dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang menuju ke Hospital Permai, di sini untuk mendapatkan bekalan vaksin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Abdul Jamal berkata, seramai 14 anggota dari BBP Larkin dan BBP Skudai dengan lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Semasa tiba didapati empat kakitangan itu iaitu pemandu Shamsul Shamsuri, 49; Rosnilam Satari, 48; Azlina Mohd. Rawi, 41; dan Amelia Pek Ying Hung, 26, terperangkap dalam van terbabit.
“Pihak bomba menggunakan alatan ‘rescue cutter’ untuk mengeluarkan semua mangsa yang mengambil masa kira-kira 11 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu van tersebut meninggal dunia dan dibawa EMRS manakala dua lagi mangsa cedera menaiki kenderaan kementerian itu ke hospital, sementara pemandu lori berkenaan terselamat.
“Bomba dimaklumkan van KKM tersebut dalam perjalanan dari Kluang ke Hospital Permai untuk mengambil bekalan vaksin,” katanya.
Tambah Suhaimi, operasi tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 1.24 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.