BUKAN lagi rahsia, Anugerah Lagu Indie (ALI) akan kembali dengan edisi kedua tahun ini. Penyertaannya telah dibuka sejak tahun lepas lagi secara berfasa.
Sepatutnya, fasa keempat berakhir 13 Ogos ini tetapi akibat pandemik, ia dilanjutkan sehingga ke tempoh yang belum dapat dipastikan. Penerbit Eksekutifnya, Mohd. Zulhelmie Zullifan atau Elmi memberitahu, ia mungkin dibuka sehingga 8 Oktober ini namun segalanya bergantung kepada tempoh sekatan pergerakan yang ditetapkan kerajaan.
Ini akan menjadi berita baik kepada pemuzik independen tempatan yang mungkin terpaksa menangguhkan pelancaran album atau lagu mereka disebabkan situasi pandemik. Tidak mustahil penyertaan akan bertambah dengan banyak.
Apa jadi selepas ALI2020?
ALI2020 berjaya meninggalkan impaknya yang tersendiri tahun lalu. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, ia berjaya mencipta fenomena ketika seluruh lapangan muzik independen terpaku menghadap impak pandemik.
ALI2020 diiktiraf dengan anugerah Noisemaker dalam TAPAUawards 2020. Tiada siapa dapat mendiamkan bunyi bising mereka tahun lalu. Itu impak ke atas penganjur.
Kepada artis pula, impak ALI2020 sangat besar. Juaranya, Margosa dilamar Sony Music Entertainment. Maknanya kita akan jumpa juara baharu tahun ini sebab Margosa sudah tidak layak bertanding dalam ALI2021 secara teknikalnya. Pemenang Anugerah Lagu Popular, Pelukan Angkasa nyanyian Sekumpulan Orang Gila dan Shila Amzah kini dalam carta Muzik-Muzik. Tiga minggu berturut-turut sejak dicalonkan mereka berada dalam kedudukan tiga terbaik.
Naib juara, Nusarasa tampil dengan lagu baharu dengan video muzik berkualiti tinggi berjudul Jauh. Pemenang tempat ketiga, Orkes A. Hizadin agak bergelut tetapi telah tampil dengan Korupsi Hati Besi selain muncul dalam Muzik-Muzik sebagai artis jemputan.
Yang tidak menang pun tidak kurang hebatnya. Teman Lelaki semakin dikenali dan vokalisnya, Eidi tampil dalam lagu duet bersama Ainina Hasnul berjudul Tentang Siang, Malam dan Romantis. Budak Nakal Hujung Simpang terus nakal dengan Labu dan bersedia untuk pelancaran album baharu. Jemson dengan album mereka yang fenomenal.
Cuma sayang jika kugiran di bawah Luncai Emas masih tidak layak bertanding. Ramayan, Margasatwa dan Satwo masing-masing tampil dengan lagu berkualiti tahun ini. Mungkinkah boleh dispesifikkan lagi definisi syarikat rakaman supaya artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman bukan ‘gergasi’ layak bertanding? Elmi cakap syarat masih sama seperti tahun lepas, tapi saya saja cuba cucuk. Harap dia baca.
Lebih mantap
Saya percaya ALI2021 akan lebih mantap. Faktor pertama, tahun ini mereka ada lebih banyak masa untuk bersedia. Memang pandemik menyekat banyak perkara tetapi masa yang panjang ini saya yakin memberi lebih banyak idea buat Hashtag Media dan Kamar Seni Studio untuk menjayakan edisi kedua ini.
Faktor kedua, saya dimaklumkan yang ada penaja yang lebih besar kali ini. Elmi beritahu, mereka sudah berjaya dapatkan lebih daripada satu penaja yang agak besar. Beri masa dan duit yang cukup kepada orang kreatif, anda akan menikmati hasilnya dengan penuh gembira.
Dengan penajaan itu, Elmi berharap ALI2021 dapat dijalankan secara fizikal. Mereka mahu bikin konsert. Namun, perkembangan pandemik juga yang akan menentukan semuanya. Jika tidak dibenarkan konsert fizikal, ALI2021 akan berlangsung secara strim langsung seperti tahun lalu. Jika ada konsert pun, ia tetap akan disiarkan secara strim tetapi pastilah, kita mahu lihat ALI dianjurkan di pentas besar dengan kehadiran penonton. Jadi, kalau anda mahu impian ini termakbul, pergilah vaksin!
Satu lagi berita baik, ALI tahun ini akan libatkan juri dari lapangan hip hop juga. Saya bersaksi bahawa pasukan ALI2020 telah berusaha mendapatkan juri hip hop tahun lalu bagi mempelbagaikan lagi penyertaan tetapi gagal. Tak apa, tahun ini kita harapkan lebih banyak penyertaan dari artis hip hop independen yang saya fikir, sangat meriah setakat ini. Jika tahun lepas ada Hiker dengan Pergi Jauh, mana tahu tahun ini kita dapat lihat kelibat Rudeen, Bobby D, Secto atau barang hangat, ForceParkBois?