Akta MKN 2016 berperlembagaan - Mahkamah - Utusan Malaysia

Akta MKN 2016 berperlembagaan – Mahkamah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, berperlembagaan – sekali gus memuktamadkan persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keabsahan akta itu.

Demikian keputusan majoriti 5-2 panel tujuh hakim ketika menjawab secara negatif beberapa persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Presiden PKR itu.

Hakim-Hakim Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang mencapai keputusan majoriti.

Mereka berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dibangkitkan itu kini akademik.

Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan minoriti bersama-sama Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, memihak kepada Anwar.

Hakim Zaleha ketika membacakan penghakimannya kira-kira sejam 45 minit turut memerintahkan agar saman pemula Anwar dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dilupuskan, selaras dengan keputusan hari ini.

Beliau berpendapat, pindaan terhadap Akta MKN adalah sah dan berperlembagaan jadi sebarang tindakan untuk mencabar keabsahannya, adalah gagal.

Dalam penghakimannya, Hakim Zaleha turut menyentuh bahawa Akta MKN turut bertujuan melindungi keselamatan orang awam terhadap malapetaka seperti banjir, gempa bumi dan situasi lain, malah untuk menghadapi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

Pada hemat beliau, mahkamah tidak boleh ‘membutakan mata’ sebaliknya perlu mengambil notis terhadap magnitud Covid-19 yang benar-benar memberi kesan terhadap keselamatan negara.

Jelas Hakim Zaleha, justeru tidak boleh dikatakan bahawa Covid-19 adalah akibat daripada tindakan untuk mengancam dan melemahkan negara atau merupakan jenayah terancang yang diwujudkan oleh orang awam atau badan tertentu.

“Akta MKN lebih meluas kerana pelaksanaannya meliputi perkara lain termasuk bencana dan penyakit berjangkit yang mana tidak dinafikan memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Mengulas panjang lebar mengenainya, Hakim Zaleha menyatakan, mahkamah tidak sepatutnya mencampuri urusan berkaitan keselamatan negara dan keselamatan awam kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa Eksekutif.

Sementara itu, Hakim Vernon ketika membacakan penghakiman minoriti menyatakan, Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan terbatal kerana ia tidak digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar dalam permohonannya menyatakan, akta itu tidak sah kerana tidak menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam prosiding itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai sepasukan peguam mewakili Anwar manakala Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan serta S. Narkunavathy bagi pihak MKN dan kerajaan.

Mahkamah mendengar semula rujukan perlembagaan itu selepas membenarkan permohonan semakan Anwar untuk mengetepikan keputusan majoriti satu panel lain pada 11 Februari tahun lalu yang enggan menjawab persoalan Perlembagaan berhubung keabsahan akta tersebut.

Panel tersebut enggan menjawab persoalan Perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai Akta MKN selepas berpuas hati kewujudan akta itu tidak mengganggu kehidupan peribadi Anwar.

Keputusan minoriti pula berpendirian, MKN tidak berperlembagaan kerana ia tidak digubal mengikut keperluan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak memihak kepadanya, Anwar kemudian memfailkan semakan pada 7 April tahun lalu atas alasan wujud ketidakadilan yang serius kerana panel itu membuat keputusan bahawa saman pemulanya di Mahkamah Tinggi dibatalkan tanpa perlu didengar.

Saman pemula itu difailkan pada 2016 untuk mencabar keabsahan Akta MKN dengan mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan dan menamakan MKN serta kerajaan selaku defendan.

Pada 14 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan Perlembagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya