Akademi Profesor Malaysia persoal kerajaan urus pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Akademi Profesor Malaysia persoal kerajaan urus pandemik Covid-19

ADLINA SULEIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akademi Profesor Malaysia (APM) membangkitkan beberapa persoalan terhadap jawatankuasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan berhubung kes kematian dan jangkitan baharu harian Covid-19 yang meningkat secara mendadak.

Ketua Kluster Perubatan dan Kesihatan, Prof. Dr. Adlina Suleiman mempersoalkan sama ada kombinasi preskripsi ubat yang tidak sesuai digunakan atau ia tidak berkesan digunakan pesakit Covid-19 di negara ini.

Beliau turut mempertikaikan sebab kerajaan tidak melibatkan lebih ramai doktor swasta memberi sokongan perubatan dan tidak menetapkan mereka sebagai pusat pengurusan Covid-19 klinikal bagi mengurus pesakit Covid-19 dalam komuniti.

Selain itu katanya, timbul persoalan mengapa pesakit Covid-19 di kategori satu hingga tiga tidak diberikan rawatan untuk menghalang mereka beralih ke kategori empat dan lima walaupun 70 peratus orang di peringkat itu akan pulih secara semula jadi namun 30 peratus lagi berisiko ke kategori berkenaan.

“Mengapa kerajaan tidak cari alternatif sebagai penawar seperti herba, jamu, probiotik dan prebiotik yang mungkin penggunaan ramuan, vitamin dan makanan semula jadi dapat membantu menguatkan sistem imun dan melawan jangkitan?

“Mengapa tidak mencuba protokol yang telah digunakan oleh doktor lain, berbincang dan bertemu dengan pakar klinikal luar negara dengan pakar kesihatan awam yang tidak merawat pesakit dalam wad sebaliknya hanya berdebat mengenai kajian sahaja dan bukan realiti keadaan dalam wad ICU (unit rawatan rapi)?

“Mengapa doktor pakar klinikal bius dan respiratori di Malaysia tidak boleh melakukan perbincangan Zoom (secara dalam talian) dalam persidangan profesional patologi klinikal dengan pakar klinikal luar negara yang telah berjaya menyelamatkan beribu orang pesakit Covid-19 ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan persoalan itu ketika kes jangkitan harian Covid-19 merekodkan 20,780 kes hari ini yang secara keseluruhan mencatatkan 1,320,547 kes sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu. Pada masa sama, kadar kematian merekodkan hampir 400 sehari.

Antara lain, kerajaan pada 8 Ogos lalu mengumumkan beberapa kelonggaran kepada mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin termasuk kebenaran menjalani kuarantin wajib di rumah bagi pengembara dari luar negara, kebenaran rentas daerah dan negeri di beberapa negeri di Fasa 2 dan ke atas Pelan Pemulihan Pemulihan Negara (PPN) serta makan di kedai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya