KUALA LUMPUR : Pengacara dan penulis lirik terkenal, Ahmad Fedtri Yahya, 41, menerima Anugerah Tokoh Khas Kategori Pendakwah Kreatif peringkat Wilyah Persekutuan menerusi Program Ma’al Hijrah yang bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam.
Anugerah tersebut adalah bagi mengiktirafkan sumbangannya yang aktif dalam menyampaikan mesej berunsur dakwah di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.
Ia juga termasuk sumbangannya ketika menjadi pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Jejak Rasul, Madrasah, Dari Masjid Ke Masjid, Sahabat Backpackers, Sebalik Malam, Soal Rakyat dan banyak lagi.
“Ya Allah saya terkejut sangat dan pada masa sama bersyukur atas penghargaan ini. Ilmu perlu dikongsi kepada semua dan saya akan terus berkongsi pengalaman dan mesej yang dapat membimbing kita menjadi insan lebih baik.
“Ilmu ini meluas. Saya pula suka berkarya dan segala ungkapan yang ingin disampaikan akan dikongsi menerusi buku mahupun lirik lagu yang lebih mudah untuk difahami dan diingati semua,” katanya.
Selain dikenali sebagai pengacara TV, penulis lirik dan kini berjinak-jinak dunia penyiaran radio, Ahmad Fedtri juga merupakan seorang penulis buku.
Antara buku yang pernah dihasilkan ialah Kezaliman Cinta, Mahkota Kiasan, Haruman Puisi Cinta & Coconut Shake Satu dan Pantun Penyeri Pengantin.
Iklan
Sementara sebagai penulis lirik, Ahmad Fedtri pernah dinobatkan sebagai lirik lagu terbaik untuk lagu Mikraj Cinta, Kasih Padamu dan Pahlawan Zafana dan terbaharu Coretan Pilu yang menjadi lagu runut bunyi drama Ayahanda di TV3.
Antara kejayaan lain ialah merangkul Anugerah Majalah Terbaik: Sahabat Backpackers dan Anugerah Suntingan Terbaik (Mana Kawan Adik) menerusi Anugerah Skrin 2019 serta Rancangan Bual Bicara Terbaik MHI (Anugerah Skrin 2014).
Dalam pada itu, Ahmad Fedtri yang merupakan Penerbit Kanan Rangkaian TV Media Prima Berhad itu mengakui kejayaan yang diterima bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga terhasil atas kerjasama berpasukan orang di sekeliling.
“Ilmu perlu dikongsi kepada semua dan saya akan terus untuk berkongsikan pengalaman dan mesej yang dapat membimbing kita menjadi insan yang lebih baik. Ilmu ini meluas.
“Saya pula suka berkarya dan segala ungkapan yang ingin disampaikan akan dikongsi menerusi buku mahupun lirik lagu yang lebih mudah untuk difahami dan diingati semua,” kata duta Malaysia untuk Syria ini lagi.