KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Ahmad Adly Sofwan, 21, tampil membuat permohonan maaf kepada orang ramai kerana memuat naik gambar seksi di Instagramnya, semalam.
Penyanyi bekas peserta program Lagu Cinta Kita 2 itu, berkata, dia sudah belajar daripada kesilapan tersebut dan tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa mendatang.
“Hello semua… saya nak minta maaf berkenaan perkongsian gambar yang dimuat naik semalam itu.
“Saya sedar gambar itu (duduk di tepi kolam renang dengan hanya memakai seluar dalam) agak keterlaluan dan tidak sesuai.
“Terima kasih kepada yang telah memberi teguran kepada saya dan saya terima serta tidak akan buat lagi. Jangan ada benci ya semua, hanya sayang okay,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata memuji sikap berani pemuda itu tampil membuat permohonan maaf dan mengakui kesilapannya. Malah tidak kurang juga yang mengusik dengan komen nakal mereka mahukan gambar seksi lagi.