KANGAR : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan Isnin lalu.
Katanya, dia menjadi kontak kepada seorang penduduk yang positif Covid-19 ketika bertemu dengannya pada 8 Ogos lalu.
“Maka pada hari Isnin 9 Ogos, saya segera mengambil ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Gial untuk menyemak status kesihatan saya.
“Malangnya, ujian saringan tersebut dipulangkan dengan keputusan positif Covid-19,” katanya di sini hari ini.
Tambah Ay Ling, dia telah mula mengamalkan pengasingan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga sejak melakukan ujian saringan tersebut.
Katanya, dia akan mematuhi nasihat dan arahan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kangar untuk menjalankan kuarantin kendiri di rumah sehingga habis tempoh jangkitan itu.
“Saya mohon maaf kepada semua pihak iaitu kakitangan pejabat saya, sahabat perjuangan dan semua penduduk yang terkesan akibat bersama dengan saya dalam beberapa program kebajikan dan penyerahan bantuan yang dilaksanakan oleh Pusat Komuniti ADUN Indera Kayangan.
“Walaupun semua program dijalankan mematuhi langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun saya tetap menyeru semua yang ada kontak rapat dengan saya sejak tujuh hari kebelakangan ini untuk menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan yang terdekat,” katanya.
Sebagai rekod, Ay Ling lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 pada 11 Jun lalu.
Ekoran itu, Pusat Komuniti ADUN Indera Kayangan turut ditutup sementara waktu. – UTUSAN ONLINE