PETALING JAYA: Pelumba negara, Adam Norrodin mengakui sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata apabila dapat membuat kemunculan semula dalam Kejohanan Motosikal Dunia.
Jelas Adam, dia sangat teruja untuk membuat penampilan dalam saingan Moto2 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing sebagai pengganti Jake Dixon pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain hujung minggu ini.
“Sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata perasaan saya apabila dapat beraksi kembali di Kejohanan Motosikal Dunia.
“Tentang sasaran sukar untuk saya menetapkannya kerana perlumbaan sudahpun berjalan dah lebih setengah musim.
“Saya pun tidak tahu apa yang akan berlaku apabila saya ‘melompat’ ke Moto2, namun saya akan tengok pada hari pertama latihan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya malam kelmarin.
Penunggang berusia 23 tahun itu, yang kini bertanding pada Kejohanan CEV FIM dan berada di tangga kelima dalam kedudukan keseluruhan Moto2 setelah meraih tiga podium, akan menjadi pengganti Dixon di Litar Silverstone.
Pelumba Britain itu mengosongkan tempatnya susulan dinaikkan ke kelas perdana bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing menggantikan Cal Crutchlow, yang dipanggil bagi menggantikan Maverick Vinales dalam pasukan Yamaha.