PETALING JAYA: Pernah bertemu Tom Egberink tujuh tahun lalu, atlet tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan akan berwaspada dengan taktik terbaharu pemain dari Belanda itu di Sukan Paralimpik 2020.
Abu Samah menempah pertemuan dengan pilihan kelapan itu di pusingan kedua perseorangan lelaki esok setelah menewaskan Gil Jose Pablo dari Costa Rica, sebentar tadi.
Atlet berusia 36 tahun itu berkata, dia dan jurulatihnya, Ashaari Zainal Abidin akan membuat ulangkaji dan menonton perlawanan Egberink sebagai persediaan menghadapi perlawanan tersebut.
“Saya akan berjumpa pilihan teratas juga iaitu pemain dari Belanda. Jurulatih dah tengok permainan dia dan sedikit sebanyak dapat memberi maklumat berhubung pihak lawan.
“Saya sendiri pernah bertemu dengannya pada tahun 2014 tak silap, sangat lama. Mungkin ada perubahan yang berlaku dari segi permainannya.
“Saya akan berbincang dengan jurulatih dan cuba untuk memberikan tentangan sengit dalam perlawanan itu nanti,” katanya selepas tamat perlawanan.
Kemenangan di pusingan pertama menyaksikan misi Abu Samah untuk melakarkan kejayaan gemilang pada temasya kali ini dengan sasaran mara ke kelompok 16 terbaik terus menyala.
Tokyo adalah penampilan kedua Abu Samah di pentas paralimpik dan atlet kelahiran Perak itu berjaya melayakkan diri secara merit berbanding penyertaan pertamanya di Rio atas tiket wild card.