GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengusir sembilan buah bot nelayan asing dari Indonesia yang menceroboh perairan negara pada 12 hingga 14 Ogos lalu.
Kesemua bot itu diusir Kapal Maritim Kimanis yang melaksanakan rondaan Op Benteng/Op Tanjung di Pulau Kendi, di sini.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot pertama bersama empat kru warga Indonesia termasuk tekong diusir sekitar 28 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pukul 2.30 petang pada 12 Ogos.
Tambahnya, keesokan hari pula iaitu sekitar pukul 12.30 tengah hari, lima buah bot nelayan asing Indonesia bersama 15 kru dikesan dan diusir keluar di kedudukan di antara 55 ke 59 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
“Seterusnya pada 14 Ogos lalu, tiga buah bot nelayan asing Indonesia lagi dikesan dan diusir keluar di kedudukan 43 batu nautika barat daya Pulau Kendi sekitar pukul 4.20 petang.
“Kesemua bot nelayan Indonesia itu diusir secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abd. Razak, pengusiran nelayan asing itu adalah tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.
Tegasnya, Maritim Malaysia terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan termasuk lain-lain aktiviti tidak sah.
“Orang awam dan komuniti maritim diminta bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. – UTUSAN ONLINE