JASIN: Sebanyak 80,000 lagi benih ikan baung dan ikan lampam dilepaskan di Sungai Chohong di sini hari ini untuk meningkatkan stok ikan di perairan umum Melaka.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd. Fauzi Solehon berkata, secara keseluruhan sebanyak 152,400 ekor ikan terdiri daripada lampam, siakap dan baung telah dilepaskan sejak awal tahun ini.
Katanya, pelepasan secara berperingkat itu dilakukan selepas melihat perkembangan positif stok ikan di sungai tersebut yang turut membantu meningkatkan pendapatan nelayan darat di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini, kita telah melepaskan berpuluh ribu benih ikan di kawasan sama dan melihat perkembangan positif stok hidupan di kawasan berkenaan.
“Perubahan itu bukan sahaja demi menjaga ekosistem sungai, namun secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan nelayan darat dengan peningkatan hasil tangkapan ikan antara lima hingga 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program pelepasan masing-masing 40,000 benih baung dan lampam.
Pelepasan dilakukan oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhammad.
Mengulas lanjut berkenaan usia matang ikan tersebut, Mohd. Fauzi memberitahu, ia boleh diraih dalam tempoh masa empat hingga sembilan bulan akan datang. – UTUSAN