JOHOR BAHRU: Kira-kira 80 peratus penduduk Orang Asli Seletar di Kampung Kuala Masai di sini disahkan positif Covid-19.
Tok Batin, Kelah Lah berkata, seramai 59 penduduk termasuk seorang bayi berumur dua bulan telah dihantar ke Pusat Kuaratin Risiko Covid (PKRC) di Hospital Permai.
Manakala, kira-kira 100 penduduk lagi diarahkan menjalani kuaratin di rumah masing-masing.
“Saya sendiri masih menjalani kuarantin di rumah sejak 17 hari lalu dan sekarang beransur sihat. Kira-kira 100 lagi penduduk menjalani kuarantin di rumah kerana ada yang hampir sembuh setelah 10 hari menjalani kuarantin kendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelah berkata, kira-kira 350 penduduk Orang Asli suku Seletar yang menetap di Kampung Kuala Masai ini yang kebanyakannya adalah nelayan dan pengusaha ternakan kupang.
“Saya berharap pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dapat membantu penduduk di sini dengan menghantar bekalan ubat-ubatan yang semakin berkurangan dan juga keperluan asas.
“Semalam pihak dari Ihsan Johor ada menghantar bantuan makanan basah dan keperluan asas untuk para penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” jelasnya.
Kelah berkata, masih terdapat penduduk yang tidak sihat dan memerlukan ubatan seperti vitamin C, ubat batuk dan beberapa ubatan lain kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampung apabila PKPD dilaksanakan bermula 25 Ogos hingga 8 September ini.
Dalam pada itu, Kelah berharap pihak Jakoa dapat melaksanakan program vaksinasi kepada penduduk kampung Orang Asli di sini yang masih belum menerima sebarang vaksin sejak mula mendaftar pada bulan April lalu.
“Sejak bulan Mei kami penduduk kampung menunggu untuk mendapat panggilan bagi menerima vaksin sehingga sekarang tidak dapat apa-apa jawapan, sehinggalah penduduk disini menerima padah terkena jangkitan Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN