PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan sebanyak 73 amaran kepada peniaga yang didapati gagal membuat perubahan harga minyak masak sawit tulen botol 1 kilogram (kg) hingga 5 kg.
Jumlah itu adalah daripada 981 pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis-premis runcit di seluruh negara sejak 1 Ogos hingga semalam bertujuan memastikan peniaga mematuhi Perintah Kawalan Harga (Penentuan Harga Maksimum) (NO.6) 2021.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, konsep penguatkuasaan harga maksimum ini adalah sebagai penanda aras atau harga siling kepada peniaga agar tidak menjual melebihi harga maksimum ditetapkan.
“Konsep ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk mengawal situasi kenaikan harga yang tidak terkawal terhadap barang keperluan tertentu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, pendekatan pemeriksaan dilaksanakan dengan mengambil tindakan kes di bawah peruntukan Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Beliau berkata, penalti sehingga RM100,000 boleh dikenakan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya kepada individu jika sabit kesalahan di mahkamah atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.
Sebagai maklumat kepenggunaan, Azman berkata, orang ramai boleh membezakan antara minyak masak sawit tulen dengan campuran melalui label yang ditandakan pada botol minyak masak sawit.
“Minyak masak sawit tulen akan dilabel sebagai ‘minyak masak tulen’, ‘minyak masak sawit’, ‘minyak sayuran’ atau ‘minyak sawit bertapis’.
“Bagi minyak masak sawit campuran dilabelkan sebagai ‘minyak masak campuran’ atau ‘minyak masak sebatian’, jelasnya.
Sementara itu, Azman berkata, pihak kementerian menyambut baik mana-mana peniaga yang menawarkan untuk menjual minyak masak tulen botol pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan.
Beliau berkata, menerusi pemeriksaan sama yang dijalankan pihaknya didapati sejumlah 563 premis menjual minyak masak sawit tulen botol pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan.
“KPDNHEP menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang khususnya melibatkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran,” katanya.
Aduan boleh dibuat di beberapa saluran antaranya portal e-aduan.kpdnhep, e-mel [email protected], Call Centre 1-800-886-800 dan WhatsApp 019-2794317.