CYBERJAYA: Sejumlah 533 permohonan menerusi talian MPSepang Sejahtera yang dilancarkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bulan lalu, layak menerima sumbangan keperluan barangan asas.
Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, sambutan yang diterima setakat 25 Ogos itu sangat menggalakkan daripada penduduk daerah Sepang.
“Untuk makluman, daripada jumlah itu, sebanyak 399 barangan dan keperluan asas diserahkan kepada pemohon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abd. Hamid berkata, antara faktor permohonan itu dibuat adalah disebabkan ramai yang kehilangan punca pendapatan, kekurangan sumber susu bayi, kuarantin positif Covid-19, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang tidak boleh bekerja akibat pandemik Covid-19.
Katanya, sejajar dengan hasrat MPSepang untuk membantu golongan masyarakat yang terkesan, bantuan makanan seperti keperluan asas makanan, susu bayi dan wang tunai diharap dapat membantu mengurangkan bebanan segelintir masyarakat selain memberi semangat dan sokongan kepada mereka yang terkesan.
“Melalui peruntukan sebanyak RM100,000, MPSepang membelanjakan sebanyak RM40,000 bagi tujuan ini dan dijangka baki RM60,000 turut digunakan pada masa hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, Abd. Halim berkata, penduduk di daerah Sepang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini dialu-alukan membuat panggilan serta permohonan melalui talian rasmi Talian MPSepang Sejahtera 03-83190200/ 03-83190300 atau WhatsApp 019-2826533. – UTUSAN IONLINE