KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan lima defendan termasuk dua penyanyi dalam tuntutan saman RM2.5 juta yang dikemukakan oleh rakan seangkatannya, Siti Nordiana Alias agar memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan sebelum 17 Ogos ini.
Mereka ialah Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas Razidah Ahmad Senusi, 42.
Kelima-limanya yang masih tidak diwakili peguam belum memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan.
Sementara itu, Siti Nordiana selaku plaintif turut diarah memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutannya.
Hakim Zulqarnain Hassan kemudian menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes.
Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana hari ini selepas sesi pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian Isnin lalu.
Pertelingkahan di antara Siti Nordiana dan lima defendan gagal menemukan titik penyudah apabila penyanyi itu memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM2.5 juta atas dakwaan memfitnahnya secara langsung dalam laman Instragram.
Siti Nordiana, 37, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu dengan menamakan lima pihak sebagai defendan-defendan.
Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.
Menurut writ saman yang dihantar secara e-mel, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.
Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. – UTUSAN ONLINE