GEORGETOWN: Tiga maut selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka melanggar sebatang pokok dan terbakar dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri, Jelutong di sini, awal pagi ini.
Bagaimanapun identiti ketiga-tiga mangsa yang rentung setakat ini belum dapat dikenal pasti dan kenderaan dinaiki mereka juga musnah sepenuhnya.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.55 pagi.
Jelasnya, sebaik sahaja tiba dilokasi kejadian didapati tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Anggota bomba yang mengenakan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan kerja-kerja pemadaman api dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamat (rescue tools),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja menyelamat itu dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan tamat sepenuhnya pukul 3.05 pagi. – UTUSAN ONLINE