JOHOR BAHRU: Sejumlah 27 buah universiti terkemuka di rantau Asia Tenggara akan bekerjasama dan menggembleng tenaga dalam mencari inisiatif menangani dan mengurus risiko berkaitan Covid-19.
Kerjasama itu dizahirkan melalui penganjuran International Teleconference on Technology and Policy for Supporting Implementation of Covid-19 Response and Recovery Plan in Southeast Asia (ITTP-Covid19).
Inisiatif yang dirancang oleh pihak universiti, kerajaan dan industri itu sebagai usaha berkongsi hasil kajian penyelidikan bagi membantu pembuat polisi merangka penyelesaian terbaik bagi fasa pemulihan Covid-19.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, inisiatif itu merangkumi penyelidikan, penerbitan, webinar dan perbincangan kumpulan fokus untuk memulakan, mengembang, merumus dan menerbitkan cadangan polisi dan teknologi untuk menyokong respons terhadap Covid-19 dan pelan pemulihan di rantau ini.
“Saya percaya ITTP-Covid19 adalah platform lengkap untuk ahli akademik, pakar industri, perunding, sarjana, penyelidik, kerajaan dan pembuat polisi untuk bertukar maklumat tentang teknologi dan polisi semasa dan masa depan berkongsi pengalaman tentang pelaksanaan perancangan teknologi dan polisi untuk kebiasaan baharu pasca Covid-19 di Asia Tenggara.
“Kerjasama ini akan membuka jalan ke arah perkongsian memberangsangkan bagi menyebar dan memperbanyakkan strategi yang berkesan untuk sama-sama keluar daripada krisis Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perbincangan yang diadakan secara maya itu dihoskan oleh UTM di mana melalui Rangkaian Universiti ASEAN (AUN), 27 buah universiti terlibat adalah dari 10 negara di rantau Asia Tenggara yang bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN dan Pejabat Eksekutif Presiden Republik Indonesia.
Menurut Ahmad Fauzi, ITTP-Covid19 bukan persidangan biasa kerana ia memberi fokus kepada penubuhan cadangan polisi berdasarkan hasil kajian penyelidikan ilmiah berkaitan dengan respons dan pelan pemulihan Covid-19.
“Ia termasuk Sijil Pelancongan ASEAN, Pengantarabangsaan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Pengezonan Digital Pelancongan ASEAN serta Keselamatan dan Kerentanan Digital ASEAN.
“Pelbagai inisiatif lain juga dirancang sebelum dan selepas persidangan ini termasuk program seperti Penyelidikan Bersama, Pembangunan Produk, Webinar, Pertandingan Inovasi, Persidangan, Pameran Produk dan rumusan cadangan polisi yang semuanya akan dilaksanakan dalam jangka masa tiga tahun,” katanya.